Sunday, December 31, 2006

Majlis Pelancaran Al Andalus Menangis


Kotak perasmian
Originally uploaded by karyawan.



Tanggal 22 Disember 2006, Jumaat, bertempat di Tain Adventure Centre, County Louth, Ireland, telah berlangsungnya majlis pelancaran antologi puisi Al Andalus Menangis, terbitan Grup Karyawan Luar Negara (GKLN). Majlis dijalankan secara ringkas bersempena dengan majlis pembukaan program Perhimpunan Ukhuwwah Insaniyah Seluruh Ireland 2006 anjuran Persatuan Pelajar Islam Malaysia Ireland (PPIMI)


coverdepan final
Originally uploaded by GKLN.



Antalogi puisi Al Andalus Menangis merupakan himpunan 129 puisi yang ditulis sepenuhnya oleh 20 pelajar yang menuntut di luar Negara termasuklah Ireland, Scotland, England, Rusia, Australia, New Zealand, Mesir, Jordan, dan Morocco. Antologi ini merupakan terbitan pertama GKLN hasil kerjasama dengan Esastera enterprise yant turut diselenggarakan oleh Irwan Abu Bakar (pengasas esastera.com) dan saudara Fahd Razy. Antologi ini turut memuatkan karya-karya yang pernah memenangi Hadiah Sastera Berunsur Islam Ireland yang Pertama. (naskhah Al Andalus Menangis boleh didapati di: http://www.ujanailmu.com.my/pd_al_andalus.cfm)








Majlis yang dipengerusikan oleh saudara Izwan Ismail (pengerusi tetap program) dimulakan dengan ucapan pendahuluan oleh pengasas GKLN dan penyelenggara Al Andalus Menangis, saudara Fahd Razy. Beliau telah memberikan sedikit latar belakang antalogi tersebut serta mengapa dan bagaimana naskhah tersebut berjaya diterbitkan. Fahd Razy juga telah mendeklamasi 2 buah puisi dari antologi tersebut iaitu ‘Nota Kecil di Hujung Isyak III’ karya Fahd Razy dan ‘Maafkanku Ramallah’ karya Hafez Iftiqar (Australia).




Kemudian majlis menjemput tetamu yang dirai, Ustaz Hasrizal Abdul Jamil untuk menyempurnakan upacara memotong riben bagi melancarkan buku tersebut. Selanjutnya beliau turut menyampaikan naskhah antologi tersebut kepada para penulis Al Andalus Menangis. Mengikut perancangan awal, tiga orang penulis Al Andalus Menangis akan mendeklamasikan puisi-puisi yang dipilih namun akibat kesuntukan masa rancangan tersebut dibatalkan. Setinggi-tinggi penghargaan buat AJK Pelancaran yang bertungkus lumus menyempurnakan majlis iaitu saudari Atiqa Azit -Ketua AJK-, Khairiah Jaafar (Khai-rel), dan Nur Hafizah (Fieza Nur)




















Sebelum berakhir, saudara Fahd Razy sekali lagi tampil bagi mengumumkan keputusan Sayembara Puisi Berunsur Islam Ireland-UK ke-2 anjuran GKLN yang berakhir pada 1 Disember 2006. Berikut adalah senarai pemenang sayembara

Pertama:
Perjalanan Mencari Pelangi (Nur Adilah Zarin, RCSI)

Kedua:
Fenomena 1: Celikkan Mata, Terbanglah ke Seluruh Pelosok Dunia! (Adibah Abdullah, UNI OF MANCHESTER)

Ketiga:
Tarian Maut Duniawi (Sakinah binti Md.Rifin, UNIV COLLEGE DUBLIN)

Saguhati:
1. Dunia Baru Islam (Huda Kamarudin, RCSI)

2. Janji Tuhan Itu Pasti (Nurin Mazaya binti Zulkifli, SOUTHAMPTON)

Hadiah Galakan:

1) Bangkitlah dan Berdirilah (Jamilah Mohd Yusodd, UC Cork)
2) Imbauan Kisah (Nur Aisyah Zainoordin, Uni of Dundee)
3) Demam Kita: Rindukan berdirinya amirul mukminin (Khairiah Jaafar, RCSI)
4) Hanya Gerhana, Yakinlah dengan Kebangkitan Islam (Fieza Nur, RCSI)


Trofi
Originally uploaded by karyawan.





Senarai penulis Al Andalus Menangis
1) Assyaffa (Dublin, Ireland)
2) Asyrafdini (Amman, Jordan)
3) Ainun Nazrin KZ (Dublin, Ireland)
4) Atikah Azit (Dublin, Ireland)
5) Bint Al-Huda Kamarudin (Dublin, Ireland)
6) Fahd Razy (Dublin, Ireland)
7) Fazleen Razali (KMB)
8) Fieza Nur (Dublin, Ireland)
9) Firrus Hayat (Cork, Ireland)
10) Hafez Iftiqar (Melbourne, Australia)
11) Ida Sakinah Muhammad (Southampton, UK)
12) Kausar Jiwa (Loughborough, UK)
13) Khadijah Khalilah Abdul Rashid (Morocco)
14) Khairiah Jaafar (Dublin, Ireland)
15) Mardhiah Masharuddin (Galway, Ireland)
16) Mohd Bakri Bakar (Dublin, Ireland)
17) Muharikah (Dundee, Scotland)
18) Nur Firdaus Mohd Rus (Moscow, Rusia)
19) Nurani Haza (Wellington, New Zealand)
20) Syarifah Salha Syed Ahmad (Al Azhar, Mesir)

Thursday, December 28, 2006

LAPORAN SAYEMBARA PUISI BERUNSUR ISLAM IRELAND-UK KE-2 2006

SAYEMBARA PUISI BERUNSUR ISLAM IRELAND-UK II 2006

Ulasan Hakim ____________________


Rasulullah tidak pernah menghalang umatnya bergiat dalam seni sastera termasuklah syair dan puisi. Baginda pernah bersabda:"Sesungguhnya diantara syair itu ada hikmah". Diceritakan, baginda sendiri pernah mendengar secara tekun syair cinta Ka'ab bin Zuhair iaitu " Baanat Su'aadu" selain syair "An-Nabighah Al-Ja'di". Daripada Ali Karramallah Wajhah, terdapat ramai para sahabat yang pakar dalam syair. Penguasaan bahasa berseni mereka mantap. Selain itu, terdapat ramai juga ulama' muktabar yang pandai bersyair termasuklah Imam Muhammad bin Idris Asy-Syafi'i (Imam Asy-Syafi'i) dan Abdullah bin Mubarak. Justeru, usaha murni PPIMI dan GLKN mengadakan Sayembara Puisi Berunsur Islam Ireland-Uk II 2006 khusus untuk pelajar Malaysia yang menuntut di Ireland dan United Kingdom haruslah disokong.


Secara keseluruhannya, puisi yang diterima untuk Sayembara Puisi Berunsur Islam Ireland-Uk II 2006 ini menepati tema yang ditetapkan penganjur iaitu Islam serta mencerminkan kemurnian agama Islam itu
sendiri. Suara religius peserta yang menyertai sayembara terpantul pada susunan bait-bait kalimat yang memberi kesan rohaniah kepada pembaca. Sudah menjadi tanggungjawab penulis (baca penyair) untuk membetulkan kembali tanggapan barat kepada Islam. Apabila disebut Islam, ia sering dikaitkan dengan tindakan ektrem yang melampau. Sedangkan agama Islam itu syumul dan sempurna, seperti Firman Allah S.W.T yang bermaksud: "Sesungguhnya agama (cara hidup) yang diredhai di sisi Allah hanyalah Islam."


Daripada pengamatan panel hakim, rata-rata penyair mampu mengungkapkan idea berasaskan tema islam dengan mantap dan bertenaga. Kesan rohaniah begitu tinggi dan memberi kesan estetik yang begitu efektif. Dalam puisi "Perjalanan Mencari Pelangi" misalnya, penulis mengungkapkan:


Kepul-kepul hitam ialah kumpulan awan resah yang menghempap

kedinginan petang,

Siulan angin menderu bagaikan satu salakan panjang yang merayu

Bukankah dulu pernah diperingat?

Satu waktu akan memutar, satu waktu akan tersasar,


Dan tatkala jasad baru terasa dihembus roh,

Tergigil sendiri di hadapan cermin berhabuk yang sudah lama tidak disentuh

Cuba mengintai di sebalik topeng usang yang retak

Mana diriku inginku lihat?

Dan bila cermin sembahkan bayangan satu lohong hitam yang pekat

Jelas itulah diriku yang kulihat

Dan dengan serta-merta dunia menjadi amat sunyi

Walhal keliling berantai manusia mata bercahaya


Dan aku masih berdiri disini mengenggam peta

Setapak langkahku tak pasti ke kiri, kanan, hadapan atau pun belakang?

Merenung langit kuharapkan suluhan berterusan

Yang kudapat hanya cahaya yang berbalam-balam?!

Syaitan pun membisik, Nafsuku pantas mahu berhelah

Berhenti! Jangan pantas kau tuding langit!


Tudinglah pada lidah yang kontang dengan zikrullah,

Yang kenyang dengan hasil daging saudaramu

Tudinglah pada hati yang gersang tanahnya tak dibaja nur Iman

Yang sengaja kau biar mengeras dan menghitam

Tudinglah pada serapah syaitan yang kau biar berdengung di setiap celahan

nadi

Tudinglah pada mata separa buta dari menghadap ayat-ayat suci Tuhanmu

Tudinglah pada dahi yang tidak akrab dengan bumi

Tudinglah pada diri!

Jangan pantas kau tuding Ilahi!


Lalu dengan kaki yang berat dan jiwa separuh dirawat,

Teruskan melangkah menjejak ekor cahaya yang tersisa tadi

Tinggalkanlah satu lagi bekas di tapak perjalanan hidup ini

Tinggalkanlah langit petang tadi

Dan di hatiku masih berharap di hadapan bertemu pelangi...


Dalam puisi ini, penyair berjaya mengeksploitasi diksi bagi melahirkan sebuah cipta seni yang hebat. Penyair pandai mengaplikasi teknik anafora bagi memberikan kesan estetika pada puisi. Hal ini ketara pada rangkap keempat dan kelima (perkataan tudinglah dan tinggalkanlah). Setiap perkara yang berlaku memang dalam qada' dan qadar Allah. Bagaimanapun, kita tidak boleh menyalahkan Allah (Berhenti! Jangan pantas kau tuding langit!). Tetapi kita mestilah muhasabah diri dengan kembali kepada akar diri. Masing-masing perlulah memeriksa keimanan dan ketakwaan dengan merenung kembali pada lidah, hati, serapah syaitan, mata dan dahi. Puisi ini diakhiri dengan harapan agar bertemu dengan pelangi, simbolisme kepada nur keimanan atau mungkin kejayaan yang berwarna-warni.

Selain susunan bait-bait perkataan yang segar, pengucapan puisi yang berseni juga dapat diketemui dalam puisi lain yang diterima penganjur. Pemilihan diksi yang tepat dan mantap memberi kesan rohani yang tinggi kepada pembaca. Unsur-unsur kesenian yang dianyam dengan sentuhan kreativiti menjadikan pengucapan puisi begitu luhur dan bening. Bergerak dari satu babak ke satu babak yang tenang dan syahdu. Dalam puisi berjudul "Fenomena 1: Celikkan Mata, Terbanglah ke Seluruh Pelosok Dunia!" penyair menulis:

Roh-roh anak muda, merontalah, menggeleparlah

tendanglah mata-mata pada jasad yang memenjara

biar ia luas terbuka

dan kalian bebas beterbangan ke setiap inci dunia


Judul puisi ini sahaja sudah mengajak kita semua untuk membuka mata seluas-luasnya. Sekaligus mengajak kita semua terbang ke seluruh alam dan menyaksikan sendiri apa yang berlaku. Soalnya sekarang? Adakah semua orang berfikir secara luhur begitu? Tugas ini sememangnya menjadi tanggungjawab semua.


Kisah kontemporari dunia yang bergolak turut disentuh oleh mata pena Sakinah binti Md.Rifin dengan puisi yang bertajuk " Tarian Maut Duniawi." Diksi segar yang menyiratkan makna-makna tertentu telah menampilkan perasaan jelik pengarang terhadap peperangan dan kekejaman Israel dengan mengekalkan keharmonian bahasa dalam puisinya. Penggunaan beberapa diksi yang bernada 'sayu' wajar diberi pujian dalam menarik ihsan pembaca terhadap wanita dan kanak-kanak mangsa kekejaman Israel dengan menggunakan beberapa diksi tertentu, contohnya;


Usah diharap lagi ihsan yang takkan berbalas,

Kerana kau mencipta hening di bintang mata,

Apabila mengerdip kau terpukau kelayuan,

Untuk merengkuh sinarnya yang makin malap,


Harapan untuk melihat maruah Islam kembali bersinar dalam "Dunia baru Islam (nota buat si taghut dan mujahid yang melawannya" diadun dengan semangat jihad dan berjaya membangkitkan kebencian pembaca muslim terhadap golongan kuffar yang sering menindas umat Islam. Diksi-diksi seperti Saat rakusmu ditunggang dan Iblis, saudaramu yang sejati membawa pengertian bahawa penulis sedang meluahkan kebencian dengan berani.


Bahkan, itulah antara maksud penciptaan puisi itu sendiri, iaitu melantunkan perasaan benci, marah, gembira, sedih dan sebagainya dengan berwakilkan diksi-diksi secara harmoni.


Tema yang dibawa oleh Nurin Mazaya binti Zulkifli dalam "Janji Tuhan Itu Pasti" turut mengadunkan keluhan penyair terhadap penindasan kuffar terhadap umat Islam yand diakhiri dengan pengharapan agar maruah Islam dimartabatkan kembali. Sentuhan beberapa penggunaan diksi yang seolah-olah memberi saranan kepada pembaca agar melaksanakan tingkah tertentu biarpun Allah sudah menjanjikan kemenangan terhadap umat Islam.


Saranan seperti 'melihat dunia dengan kaca mata iman dengan ilmu kebenaran' wajar dihayati oleh semua agar harapan yang dipanjatkan bersama janji Allah dapat dicapai tatkala melihat panji hijau kembali berkibar bersama angin timur.


Secara keseluruhanya, panel hakim berpuas hati dengan karya peserta. Namun sedikit yang meresahkan, kesemua kemenangan didominasi oleh penulis wanita. Dari sisi lain (sedikit komentar pihak hakim), kebanyakan puisi yang diterima adalah terlalu panjang sehingga menjejaskan nilai estetika. Tip kepada semua, semakin panjang sesuatu puisi, maka semakin banyak kesalahan-kesalahan yang mungkin berlaku. Sebaik-baiknya, buatlah saringan dengan teliti. Cantas perkataan dan baris serta rangkap yang tidak perlu.


Sebagai kesimpulannya, diperturunkan petikan tulisan Prof. Dr. Yusof Al-Qardhawi dalam bukunya Seni & Hiburan dalam Islam yang berbunyi: Tidak diragukan lagi bahawa seni mirip dengan ilmu pengetahuan yang dapat dipergunakan untuk kebaikan dan pembangunan atau boleh juga dimanfaatkan untuk kejahatan dan kerosakan, dan di sinilah letak permasalahannya. Seni merupakan media untuk mencapai suatu tujuan itu sendiri. Jika digunakan dalam urusan halal hukumnya halal dan jika digunakan untuk urusan haram hukumnya haram.


Semoga usaha murni PPIMI dan GLKN akan diteruskan pada masa-masa akan datang bagi mengangkat darjat seni berteraskan ciri-ciri keislaman. Umat manusia memerlukan kepada pentarbiyahan jiwa bagi memupuk kesedaran rohani. Tahniah kepada semua semua yang menyertai. Semoga usaha ini akan menambahkan lagi bilangan penulis muda dari kalangan profesional.

Tahniah kepada semua pemenang.



PANEL HAKIM

Nasriah Abdul Salam
Nimoiz TY

_________________________________________________________________________


Keputusan


Pertama:
Perjalanan Mencari Pelangi (Nur Adilah Zarin, RCSI)

Kedua:
Fenomena 1: Celikkan Mata, Terbanglah ke Seluruh Pelosok Dunia! (Adibah Abdullah, UNI OF MANCHESTER)

Ketiga:
Tarian Maut Duniawi (Sakinah binti Md.Rifin, UNIV COLLEGE DUBLIN)

Saguhati:
1. Dunia Baru Islam (Huda Kamarudin, RCSI)

2. Janji Tuhan Itu Pasti (Nurin Mazaya binti Zulkifli, SOUTHAMPTON)


HAKIM-HAKIM SAYEMBARA.
1) NASRIAH ABDUL SALAM
2) NIMOIZ TY

PROFIL NASRIAH ABDUL SALAM


NAS123
Originally uploaded by karyawan.
Nama penuh Nasriah Abdul Salam ialah Khairunnasriah Binti Abdul Salam. Selain itu juga, Nasriah Abdul Salam turut dikenali sebagai Nasa_natrah dalam laman komuniti esastera.com. Merupakan Mantan Minggu Penulis Remaja 2005, dilahirkan pada 2 Ogos 1983 (23 Syawal 1402H) di Kampung Pulau Gajah, Kota Bharu.

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Pulau Gajah. Meneruskan persekolahan menengah di Sekolah Menengah Ugama (Arab) Maahad Muhammadi Perempuan, Kota Bharu. Kini, Nasriah Abdul Salam sedang menekuni bidang Undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak.

Mula meminati bidang puisi dan penulisan sejak sekolah rendah dan aktif dalam bidang penulisan sewaktu di bangku sekolah menengah. Tetapi, mula menghantar karya kepada editor dan penerbitan pada tahun 2003.

Puisi merupakan genre yang paling digemarinya dengan menyaduri gagasan ketuhanan dan kemanusiaan. Menjadikan Allahyarham Usman Awang, Pak A.Samad Said dan Lim Swee Tin sebagai cermin inspirasi dan pencucuh minat dalam berkarya.

Karya-karya Nasriah Abdul Salam pernah tersiar dalam majalah-majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Galeri Ilmu, Kumpulan Karangkraf, Moy Publication serta buletin-buletin tempatan. Nasriah Abdul Salam boleh dihubungi di nasriah_salam@yahoo.com (YM messenger).



PROFIL NIMOIZ TY

NimoizBest
Originally uploaded by karyawan.
Nimoiz TY merupakan akronim kepada Nik Mohd Iznan Tuan Yaakub. Dilahirkan pada 11 April 1983 di Kg Gual Ipoh, Tanah Merah, Kelantan. Kini beliau berkhidmat sebagai pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Awam, Politeknik Mukah.

Dalam penulisan, telah menghasilkan lebih 500 buah sajak, yang mana 100 daripadanya terhimpun dalam kumpulan puisi persendirian 'Jalan Baru'. Karya-karya beliau tersiar di Berita Minggu, Mingguan Malaysia, Utusan Malaysia, Pentas Dunia, Pelita Bahasa, Dewan Bahasa, Dewan Sastera, Dewan Budaya, Tunas Cipta, Dewan Siswa, Dewan Agama dan Falsafah, Majalah I, Sarina, Remaja, URTV, Metro Ahad, Mingguan Wanita, Seri Dewi dan Keluarga, Majalah Noor (Indonesia), Masa, Forum Perdana dan lain-lain. Turut dibukukan dalam APAS, Sajen,Salju Jabal Musa, Hostel, Selagi Ombak Mengejar Pantai 8, Bayi Kota Berahi, dan Tunas Jiwa.

Beliau merupakan mantan MPR 2004, dan penyandang Anugerah Penyair Alam Siber sebanyak tiga kali (2003, 2004, 2006). Turut memenangi Hadiah Puisi dan Cereka Sains Karyanet dua kali berturut (2004 dan 2005), Anugerah Novelis Alam Siber, dan Hadiah Puisi Merdeka KUiTTHO.

Turut menjadi ahli Gabungan Penulis Muda Kelantan (GEMA), sekretariat Alumni MPR-DBP, dan Persatuan Penulis Kelantan (PPK).

Friday, August 18, 2006

Khemah Sastera Negeri Terengganu

Alhamdulillah, pada 3-5 Ogos yang lalu, salah seorang ahli GKLN, sdr Nur Hafizah telah dijemput menyertai Khemah Sastera Terengganu di Batu Rakit manakala Fahd Razy telah dilantik menjadi fasilitator dan pembentang kertas kerja motivasi karya pada program tersebut. Berikut merupakan laporan sdr Nur Hafizah


PA231121
Fahd Razy, Nur Hafizah, dan ahli kumpulan SN S. Othman KElantanGKLN.




Selama 3 hari 2 malam saya berkampung di Gem Beach Resort. Bercuti? Mungkin,bercuti dari menekuni buku perubatan ataupun membedah mayat orang Irish saban minggu. Semusim pengajian saya di Dublin, Ireland betul-betul menguji rohani dan jasmani saya selaku anak perantau. Maka cuti musim panas ini dimanfaatkan sebaiknya untukbercuti. Dan saya habiskan beberapa detik dari masa cuti untuk berkhemah sastera di GemBeachResort.

Walaupun perkataan `khemah' yang digunakan namun penginapan kami adalah bilik hotel yang sekelilingnya adalah kolam renang yang sangat luas. Malah dari jendela bilik penginapan, laut China Selatan terhampar luas. Terima kasih buat DBP cawangan wilayah timur yang membelanjakan beribu-ribu ringgit selaku penganjur khemah sastera peringkat negeri Terengganu.


PA231119
Para peserta Khemah Sastera TerengganuGKLN.



Khemah sastera ini adalah rentetan dari khemah sastera negeri Kelantan yang diadakan tidak beberapa lama sebelum ini sebelum berpindah ke negeri Pahang. Tujuan khemah sastera ini diadakan antara lainnya adalah untuk mencungkil bakat-bakat penulis muda. 10 penulis muda yang menunjukkan persembahan terbaik setiap negeri akan dikumpulkan untuk peringkat wilayah timur. Seterusnya10peserta terbaik dari wilayah timur akan di pilih ke minggu penulis remaja peringkat kebangsaan. Bagi saya ini adalah satu langkah baik untuk membina penulis-penulis muda yang bakal menjadi penulis mapan.

Minat saya dalam bidang penulisan walaupun ia bukanlah bidang utama saya turut menjemput saya menyertai khemas tersebut.Sepanjang khemah sastera tersebut, kami mendapat pelbagai pendedahan dalam bidangpenulisan.

Hari pertama, Tuan Sharif Putera telah mengulas panjang lebar tentang bagaimana menghasilkan sebuah cerpen yang bagus. Beliau sempat menunjukkan beberapa keratan cerpen sebagai contoh seperti cincin oleh Fatimah Busu dan Tina karya Aminhad. Di samping itu, beliau juga meneliti karya-karya peserta dan mencoretkan beberapa kritikan membina. Peserta-peserta muda yang cenderung pada penulisan cerpen begitu bersemangat mendengar celoteh beliau walaupun kadang-kadang ada karya peserta yang mendapat komen keras dari beliau. Itulah dunia penulisan, untuk terus mara kehadapan,kritikan-kritikan seumpama itulah yang harus dihadam bukannya alpa didodoi pujian-pujian. Apatah lagi kalau karya baru setahun jagung.

Hari berikutnya,peserta-peserta bengkel begitu bertuah apabila penulis muda Rozais Al Anamy dan zanazanzaly sudi berkongsi sedikit sebanyak pengalaman mereka selaku penulis muda yang sedang meningkat naik.Malah bagi saya, tajuk `Penulis adalah pemikir, bersediakah anda?" yang dikupas oleh Rozais Al Anamy merupakan satu tajuk yang sangat patut dibincangkan supaya barisanpenulis muda mempunyai jati diri yang mapan dan mempunyai objektif yang jelas kena padan mengapa kita harus menulis. Syabas saya ucapkan pada pihak penganjur kerana memasukkan topik tersebut dalam perbincangan.

Buat seketika saya tidak rasa begitu janggal kerana saudara Fahd Razy, seorang penulis muda yang juga mengambil jurusanperubatan di Dublin, Ireland berceloteh pengalaman beliau menongkah arus apabila berkecimpung dalam dunia sastera dan penulisan. Malah, banyak penulis-penulis muda kini turut sama muncul melawan arus apabila terjun ke bidang penulisan walhal masing-masing mengambil jurusan sains, usuluddin, syariah, kejuruteraan dan sebagainya.Suka untuk saya petik kata-kata saudara Fahd Razy, "ini merupakan satu pencapaian buat penulis-penulis muda dari aliran bukan sastera, dan bagi penulis-penulis dari aliran sastera, ini adalah satu cabaran buat anda".

Peserta-peserta juga sempat mendengar ulasan dari penulis mapan yang tidak asing lagi di Terengganu iaitu saudaraHilmi Rindu.Beliau juga telah bermurah hati menitipkan buku antologi puisi beliau guna sebagai pendorong kepada peserta-peserta.


PA231107
Persembahan dari kumpulan terbaik, kumpulan SN S. Othman KelantanGKLN.



Bercakap tentang puisi, kami juga mendapatpendedahan tentang bagaimana mencipta karya puisi yang bermutu oleh saudara Dr.Awang Abdullah. Walaupun beliau kepenatan kerana baru pulang ke Terengganu,namunsedikitpun tidak menganggu penyampain beliau yang begitu berinformasi.




PA221086
Nur Hafizah, peserta terbaik Khemah Sastera Terengganu (dan juga ahli GKLN)GKLN.



Sepanjangbengkel juga diselitkan unsur-unsur kebudayaan dan teater buah tangan dari fasilitator dari JASTERA. Fasilitator tersebut bertanggungjawab memandu kami dalam memberikanpersembahan terbaik dalam persembahan terakhir dan sepanjang bengkel. Di akhir bengkel, kumpulan S.Othman Kelantan telah dinobatkan sebagai kumpulan terbaik dengan melakonkan teater yang diadaptasi dari cerpen Tina karya Aminhad dan nukilan sajak yangbertajuk Dialog Perkasihan Abang dan Adik garapan peserta terbaik khemah sastera, NurHafizah, pelajar perubatan dari Dublin, Ireland. Secara keseluruhannya, khemah sastera ini begitu menambat hati saya yang bergelar pelajar perubatan. Faedah yang saya peroleh usai khemah sastera ini begitu banyak dan saya tidak mendapat sesal sedikitpunmenyisipkan waktu cuti musim panas untuk ke khemah sastera ini. Sekalung penghargaan buat penganjur, DPB wilayah Timur dan Encik Syaidul Azam selaku wakilnya.

fiezanurGem Beach Resort, trg3-5 OGOS 2006

Thursday, August 17, 2006

Hadiah Galakan Sastera Grup Karyawan Luar Negara (I) 2006/2007

Hadiah Galakan Sastera Grup Karyawan Luar Negara (I) 2006/2007
(Kategori Puisi)

Pengenalan

Hadiah Galakan Sastera GKLN ini terbuka kepada semua ahli GKLN yang menepati syarat penyertaan. Untuk permulaan, hanya kategori puisi yang dipertandingkan dan penilaian akan dibuat setiap dua tahun sekali. Walaubagaimanapun, kategori cerpen dan lain-lain sedang dalam pertimbangan.


Objektif

- Menggalakkan penglibatan aktif ahli-ahli GKLN dalam berkongsi karya di yahoogroups.
- Memberi ruang kepada ahli-ahli GKLN di negara yang tidak mempunyai sayembara untuk menimba pengalaman dan menerima penghargaan dalam berkarya.
- Menggalakkan penghasilan karya-karya bermutu dari ahli-ahli GKLN.


Prosedur dan syarat

- Semua karya yang tersiar di yahoogroups GKLN bermula dari tahun 2005 hingga Jun 2007 serta menepati syarat akan dinilai untuk Hadiah.
- Karya-karya tersebut mestilah tidak pernah memenangi sebarang anugerah atau hadiah sastera (sama ada peringkat rendah mahupun peringkat perdana), atau tersiar di media cetak. Namun karya yang disiarkan di yahoogroups boleh dihantar untuk penerbitan di media cetak.
- Penulis perlu mempunyai sekurang-kurangnya empat buah puisi yang menepati syarat di yahoogroups GKLN untuk membolehkannya layak dinilai. Namun hanya 3 sajak terbaik sahaja yang layak dipertandingkan (dan hanya satu hadiah ditawarkan).
- Tema sajak bebas, tetapi mestilah bermoral dan mempunyai mesej yang wajar dan berpatutan.
- Hanya peserta yang menghantar maklumat peribadi yang lengkap berserta gambar (dalam bentuk jpeg) kepada urusetia sahaja yang akan dinilai karyanya. (Maklumat peribadi ini akan diminta samada sebelum atau sebaik sahaja penilaian selesai dijalankan)
- Hanya peserta yang masih berada di luar negara sehingga tahun 2006 dan ke atas sahaja yang layak menyertainya.
- Bagi menjamin objektif Hadiah Sastera GKLN tercapai, pihak urusetia berkuasa penuh untuk menolak penyertaan dari penulis yang dirasakan tidak sesuai untuk diberikan hadiah atas apa jua alasan.
- Hadiah akan ditentukan kemudian oleh penganjur.

Sunday, June 25, 2006

SAYEMBARA PUISI BERUNSUR ISLAM IRELAND-UK II 2006


Ireland flag-clover copy
Originally uploaded by GKLN.



SAYEMBARA PUISI BERUNSUR ISLAM IRELAND-UK II 2006

PERSATUAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA IRELAND (PPIMI) DENGAN KERJASAMA GRUP KARYAWAN LUAR NEGARA (GKLN) SEKALI MENERUSKAN SAYEMBARA PUISI BERUNSUR ISLAM IRELAND-UK II 2006 SEBAGAI MENERUSKAN AKTIVITI YANG DIMULAKAN SEJAK TAHUN 2005. SAYEMBARA KALI INI TERBUKA KEPADA SEMUA PELAJAR MALAYDIA YANG MENUNTUT DI IRELAND DAN UNITED KINGDOM. SAYEMBARA INI DIADAKAN YANG ANTARA LAIN TUJUANNYA ADALAH UNTUK MENINGKATKAN PENGHAYATAN MASYARAKAT ISLAM KHUSUSNYA DI KALANGAN PELAJAR MALAYSIA DALAM ASPEK KEROHANIAN DAN HAL EHWAL ISLAM SEMASA DI SAMPING MEWUJUDKAN RUANG PENGLIBATAN DALAM BIDANG PENULISAN DAN KESUSASTERAAN.

Syarat-syarat Penyertaan

• Sayembara ini terbuka kepada semua pelajar/bekas pelajar Malaysia yang sedang menuntut atau masih berada di Ireland dan United Kingdom.

• Setiap puisi yang dihantar hendaklah bertemakan Islam serta mencerminkan kemurnian agama Islam itu sendiri. Tema sayembara puisi adalah “Dunia Baru Islam”. Puisi-puisi boleh menyentuh mana-mana aspek perjuangan menegakkan syiar Islam, dakwah dan tarbiyah, kritikan sosial dan sikap umat silam, isu-isu semasa dunia Islam, kocak politik dan ekonomi negara-negara Islam, keamanan/ kezaliman khususnya yang melanda negara-negara Islam seperti Iraq dan Palestin, sejarah-sejarah Islam, ketamadunan kerajaan-kerajaan Islam silam, dan lain-lain yang bersesuaian, perkembangan/harapan terhadap kemajuan umat Islam di masa hadapan, aspek sains dan teknologi yang membabitkan umat Islam, dan lain-lain aspek yang berkaitan dengan tema tersebut.


• Setiap peserta bebas menghantar bilangan puisi berunsur Islam namun hanya satu hadiah sahaja layak dimenangi oleh setiap peserta. Hadiah ditawarkan untuk tempat Pertama, Kedua, dan Ketiga serta dua hadiah saguhati.

• Bilangan rangkap dan baris bagi puisi adalah bebas, tetapi hendaklah melebihi sepuluh baris.

• Hasil karya hendaklah asli (bukan saduran atau terjemahan), belum pernah tersiar atau diterbitkan di mana-mana media cetak dan belum pernah menyertai sebarang peraduan lain.

• Setiap karya yang dihantar tidak akan dipulangkan dan pihak penganjur berhak menyiarkan karya tersebut (di buletin dan majalah) tanpa perlu izin rasmi penulis, namun hak cipta karya tetap di tangan penulis.

• Tarikh tutup penyertaan adalah pada 1 Disember 2005.

• Sebarang pertanyaan lanjut dan penyertaan bolehlah di emel ke puisieire@yahoo.com atau hubungi 0857084678. Setiap penyertaan perlu disertakan dengan butir diri lengkap (Nama, tarikh lahir, kolej dan jurusan, tahun pengajian, alamat (Ireland/UK) dan no telefon bimbit (Ireland/UK).

• Majlis penyampaian hadiah akan diadakan semasa program Perhimpunan Ukhwah Insaniah Seluruh Ireland (PUISI) pada bulan Disember 2006 nanti. Hanya pemenang yang hadir sahaja akan diberikan hadiah (atau menghantar wakil dari kawasan yang sama. Contoh: peserta dari Southampton perlu sekurang-kurangnya menghantar wakil dari Southampton).

Friday, June 16, 2006

SAYEMBARA CERPEN DAN PUISI RUSIA I 2006

GRUP KARYAWAN LUAR NEGARA (GKLN) DI RUSSIA SEDANG MENGANJURKAN "SAYEMBARA PUISI DAN CERPEN" YANG TERBUKA KEPADA SEMUA PELAJAR MALAYSIA YANG SEDANG MENUNTUT DI RUSSIA. SAYEMBARA INI DIADAKAN YANG ANTARA LAIN TUJUANNYA ADALAH UNTUK MENINGKATKAN PENGHAYATAN DALAM BIDANG PENULISAN DAN KESUSASTERAAN KHUSUSNYA DI KALANGAN PELAJAR DI
SINI.SEMOGA ACARA SEBEGINI DAPAT MEMBERI MANFAAT KEPADA PARA PELAJAR.

Sayembara ini terbahagi kepada dua kategori utama iaitu Cerpen dan Puisi

CERPEN



Syarat-syarat Penyertaan Kategori Cerpen

1) Sayembara ini terbuka kepada semua pelajar Malaysia yang menuntut di Russia
2) Setiap cerpen yang dihantar adalah bertemakan bebas selagi tidak mengandungi unsur-unsur lucah dan sensitif seperti politik dan perkauman dan MESTILAH ditulis menggunakan bahasa Melayu.
3) Setiap peserta dibenarkan menghantar seberapa banyak karya cerpen namun hanya satu hadiah sahaja layak dimenangi oleh setiap peserta bagi kategori ini. Hadiah ditawarkan untuk tempat Pertama, Kedua,Ketiga serta dua saguhati.
4) Bilangan perkataan untuk bahagian cerpen adalah sekitar 1500-3000
perkataan.
5) Hasil karya hendaklah asli (bukan saduran atau terjemahan), belum pernah tersiar atau diterbitkan di mana-mana (kecuali media elektronik seperti weblog dan website peserta) dan belum pernah menyertai sebarang peraduan lain.
6) Setiap karya yang dihantar tidak akan dipulangkan dan pihak penganjur berhak menyiarkan karya tersebut (di buletin/majalah)namun hak cipta karya tetap di tangan penulis.
7) Tarikh tutup penyertaan adalah pada 31 Disember 2006.
8) Sebarang penyertaan hendaklah dihantar melalui emel secara attachment fail MS Word dan disertakan maklumat diri seperti nama, nama pena (jika ada), alamat dan no telefon (Russia), tarikh lahir, nama universiti dan tahun pengajian.(penganjur berhak menolak mana-mana karya yang tidak menepati syarat)
9) Sebarang pertanyaan lanjut dan penyertaan bolehlah di emel ke [ sayembararus@yahoo.com.my ] atau hubungi talian [ +79202549842 ] (Mohd
Jamzuri Ammir Bahauddin).

PUISI



Syarat-syarat Penyertaan Kategori Puisi

1) Sayembara ini terbuka kepada semua pelajar Malaysia yang menuntut di Russia
2) Setiap puisi yang dihantar adalah bertemakan bebas selagi tidak mengandungi unsur-unsur lucah dan sensitif seperti politik dan perkauman dan MESTILAH ditulis menggunakan bahasa Melayu.
3) Setiap peserta dibenarkan menghantar seberapa banyak karya puisi namun hanya satu hadiah sahaja layak dimenangi oleh setiap peserta bagi kategori ini. Hadiah ditawarkan untuk tempat Pertama, Kedua, Ketiga serta dua saguhati.
4) Bilangan rangkap dan baris puisi adalah bebas, tetapi hendaklah melebihi sepuluh baris.
5) Hasil karya hendaklah asli (bukan saduran atau terjemahan), belum pernah tersiar atau diterbitkan di mana-mana (kecuali media elektronik seperti weblog dan website peserta) dan belum pernah menyertai sebarang peraduan lain.
6) Setiap karya yang dihantar tidak akan dipulangkan dan pihak penganjur berhak menyiarkan karya tersebut (di buletin/majalah)namun hak cipta karya tetap di tangan penulis.
7) Tarikh tutup penyertaan adalah pada 31 Disember 2006.
8) Sebarang penyertaan hendaklah dihantar melalui emel secara attachment fail MS Word dan disertakan maklumat diri seperti nama, nama pena (jika ada), alamat dan no telefon (Russia), tarikh lahir,nama universiti dan tahun pengajian.
9) Sebarang pertanyaan lanjut dan penyertaan bolehlah di emel ke [ sayembararus@yahoo.com.my ] atau hubungi talian [ +79202549842 ] (Mohd
Jamzuri Ammir Bahauddin).

Antologi Puisi GKLN: Madrasah Muhasabah


books
Originally uploaded by GKLN.
Promosi pra-penerbitan: Grup Karyawan Luar Negara (GKLN) dalam usaha menerbitkan antologi puisi pertamanya berjudul 'Madrasah Muhasabah'. Antologi puisi 'Madrasah Muhasabah' dijangka terbit menjelang September ini hasil kerjasama GKLN dengan esastera.com. Antologi puisi ini dijangka menampilkan sekitar 150 buah puisi dari 23 orang penulis yang terdiri daripada pelajar-pelajar luar negara. Antaranya ialah dari Ireland (11 penulis), Scotland (seorang penulis), Britain (2 penulis), Jepun (seorang penulis), Australia (seorang penulis), Mesir (seorang penulis), Jordan (seorang penulis), Rusia (seorang penulis), New Zealand (seorang penulis), Morocco (seorang penulis), dan Malaysia (2 orang penulis). Puisi-puisi terdiri dari pelbagai tema termasuklah perjuangan Islam, keamanan sejagat, kritikan sosial, kasih sayang, isu-isu kemasyarakatan, ketuhanan, kekeluargaan, dan sebagainya. Maklumat lanjut akan diumumkan setelah antologi tersebut selesai diterbitkan.


PENGUMUMAN (dari saudara Abadi Sufaat):
Sesiapa yang mempunyai foto-foto masjid (dari Masjid India di Jalan Masjid India hinggalah ke Masjid Jamek Vladivostok) supaya dapatlah hantarkan kepada saya. jangan segan jangan malu.

Foto-foto ini akan saya gunakan untuk merekabentuk muka depan dan muka belakang Antologi Sajak GLKN nanti.

Oh ya, foto-foto tersebut hendaklah yang diambil sendiri, bukannya diambil dari mana-mana sumber lain (internet, buku teks, majalah, tiket bas, resit duit kutu, poskad, manifesto dsb). Ini untuk mengelak dari masalah hakcipta, copyright/copywrong ke apa begitulah al-kisahnya.

Akhirul kalam, foto-foto yang terpilih kita akan acknowledge dalam antologi tersebut... dan kami akan usahakan imbuhannya (insha Allah buku). jika ada kemusykilan bolehlah mengajukan persoalan melalui email, sms/txt mahupun surat.

wassalam.

abadi badri

postscriptum:
hantarkan foto anda ke
email: abadisufaat@yahoo.com
alamat: 380, South Circular Road, Dublin 8, Ireland

SAYEMBARA PUISI BERUNSUR ISLAM IRELAND I 2005

SAYEMBARA PUISI BERUNSUR ISLAM IRELAND 2005



Bermula dari September hingga Disember 2005, Grup Karyawan Luar Negara (ketika itu dikenali sebagai Grup Karyawan Ireland) dengan kerjasama Persatuan Pelajar Islam Malaysia Ireland telah menganjurkan Sayembara Menulis Puisi Berunsur Islam Ireland. Sayembara tersebut diadakan bagi memberi pendedahan dan galakan kepada pelajar-pelajar di Ireland dan United Kingdom untuk bergiat dalam dunia penulisan di samping meningkatkan penghayatan dan pengamalan Islam sesama pelajar.

Lebih bermakna lagi, sayembara tersebut telah mendapat sokongan daripada penulis mapan, Encik Shamsudin Othman, yang bertanggungjawab sebagai hakim. Sebanyak 28 buah puisi daripada 14 orang peserta seluruh UK dan Ireland telah diterima oleh pihak penganjur.Majlis penyampaian hadiah telah diadakan sewaktu Program Perhimpunan Ukhwah Insaniah Seluruh Ireland di Waterford, Ireland di hadapan lebih 100 orang peserta. Majlis tersebut telah disempurnakan oleh saudara Khamizi Aziz, Presiden PPIMI 2005.

Berikut ada senarai para pemenang:

Pertama : M 001 – Lambaian Kaabah
Zulaikha Mohamed Khazin, 1st Year UCD

Kedua : N 001 – Bila Jiwa Mengingati Mati
Mardiah Masharudin, 5th Year NUIG

Ketiga : F 001 – Kantung Derita Manusia
Aimi Rahayu Abdul Rashid, 1st Year UCC

Saguhati 1 : J 001 – Dia Yang Tiada Empunya Nama
Khairiah Jaafar, 1st Year RCSI

2 : I 001 – Berteduh di Bawah Hujan.
Noor Asriah Safian, 2nd Year RCSI





Penyampaian Hadiah
Originally uploaded by FahdRazy.
Mengumumkan para pemenang Sayembara Puisi Berunsur Islam Ireland 2005



Fahd Razy
Originally uploaded by FahdRazy.
Fahd Razy mengumumkan para pemenang



Zulaikha
Originally uploaded by FahdRazy.
Johan Sayembara, Zulaikha Mohamad Khazin



Mardhiah
Originally uploaded by FahdRazy.
Mardhiah Masarudin-Naib Johan



Aimi Rahayu
Originally uploaded by FahdRazy.
Aimi Rahayu- Pemenang tempat Ketiga



Khairiah Jaafar
Originally uploaded by FahdRazy.
Khairiah Jaafar-pemenang Saguhati Sayembara



Asriah Safian
Originally uploaded by FahdRazy.
Kak Asriah-penerima hadiah Saguhati, sayembara puisi



Trofi
Originally uploaded by FahdRazy.
Piala yang diterima oleh para pemenang Sayembara Puisi Berunsur Islam Ireland 2005...



Sila ke ruangan Artikel untuk membaca laporan Hakim dan ruangan puisi untuk membaca puisi pemenang.